Entri Ini Anti-Klimaks
Feb 5th
Semenjak laman-laman streaming lagu seperti Deezer, Dizzler, Grooveshark, Imeem, Myspace Music sudah disekat daripada terus berfungsi lagi di kubikel kedekut bandwidth ini, terus saja aku alihkan perhatian pada laman V[Amp].
Aku streaming dari sini sebenarnya sudah lama juga, cuma jarang-jarang. Rasa-rasa rindu nak dengar Love Me Butch aku masuklah sini. Tapi sekarang, ianya sudah jadi satu-satunya sumber yang tinggal untuk aku mendengar lagu memandangkan aku tidak berapa berminat sangat dengan kaedah download.
Kalau laman ini disekat juga bermakna akan menurunlah prestasi kerja aku (Amaran kepada Pakcik Network, hahaha).
Ada band yang aktif, update list bila mereka riliskan material baru. Ada juga yang biarkan sahaja list lagu mereka. Kebanyakannya begitu. Jika mahu dengar semua atau rilisan yang baru kenalah beli album kan? :P
Antara band-band yang selalu aku stream dari laman V[Amp] ini selain dari Love Me Butch adalah Oh Chentaku, Hide, They Will Kill Us All, I Bet This Is Revenge dan Fury (Ini band Pipiyapong).
Kadang-kadang aku dengar Yuna, lagu-lagu lama dia yang lebih kuat aroma jazznya. Dan yang paling baru aku jumpa: Nadhirah Rashid. Tone ada cuma perlu pengasah. Lagipun dia belum buat lagu sendiri (List dia cuma lagu-lagu cover).
Paling penting, semua-semua pengkarya yang aku tuliskan itu bertapak di negara kita. Malaysia!
Tekseater Bunga Dan Darah
Feb 3rd
Sufi sedang sibuk memanah Dewa Cinta. Satu demi satu anak panah meluncur dari busurnya yang berbentuk hati.
Ya, Busurnya berbentuk hati.
Dewa Cinta tidak pula sibuk mengelak panahan Sufi kerana anak panah itu tidak sampai, jatuhnya cuma beberapa sentimeter daripada tempatnya berdiri. Dewa Cinta tersenyum sinis.
Dewa Cinta menjerit dari jauh. “Kau memanah atau bermain baling selipar?!” Dewa Cinta kemudian berguling-guling di atas tanah sambil pegang perut. Ketawanya mengekek.
Sufi buat tidak endah. Dia terus memanah. Beribu-ribu anak panah sudah meluncur dari busurnya, namun tetap juga menggelongsor. Meleret sepi di atas tanah.
2 meter dari medan pertempuran, sepasang kekasih sedang dan terus enak bercumbu-cumbuan.
Dewa Cinta kembangkan sayap pendeknya kemudian meluncur ke langit sambil berteriak mengejek-ngejek Sufi. Dia mula beraksi. Menari-nari di angkasa. Lagaknya menjengkelkan.
Sepasang kekasih semakin rancak berasmara, tidak sedarkan diri. Visual yang disiarkan melalui layar besar yang melekat di dinding bangunan si kapitalis pula terus-terusan berpropaganda.
Sufi duduk antara dua sujud. Kepalanya tunduk membiarkan wajah merenung bumi. Dia berbisik perlahan, “Ini anak panah yang terakhir, semoga Pemilik Langit sentiasa bersamaku!”
GONG!!!
Kali terakhir apabila semua penduduk bumi kehairanan lalu mendongak ke atas. Langit bergegar sebentar. Terdengar jeritannya yang nyaring dan panjang. Dahsyat. Darah memercik menjadi titisan hujan. Sepasang kekasih dilihat terpinga-pinga bermandikan darah.
Sufi sujud syukur.
Indie Vs. Bintang Realiti
Feb 1st
Susah payah mencipta lagu dengan perasa-perasa yang lebih segar, membentuk melodi dengan asas yang lebih kukuh, membina platform dan mengumpul pengikut…
Sudah pasti rasanya seperti terkena sengatan tebuan tanah apabila ada yang mendakwa populariti band-band indie sekarang adalah disebabkan oleh bintang realiti yang kita tidak tahu entah apa masa depannya.
Kelakarnya.
Itulah kadang-kadang aku terfikir juga, perkara begini memang tidak dapat dielakkan. Membuka langit untuk kemasukan pasaran yang lebih besar bayarannya perlulah setimpal. Jadi perkara terbaik yang boleh dilakukan adalah dengan tampil mempertahankannya. Jangan buat bodoh ja, mereka-mereka ini terutamanya sebahagian wartawan hiburan kita lihat kebiasaannya mempunyai tabiat bermusuh dengan ilmu pengetahuan. Mereka lebih suka sesuatu yang sensasi. Gosip panas. Kontroversi. Nak jual paper! Hehehe..
Jadi berbalik semula kepada persoalannya, benar-benarkah bintang realiti membantu menaikkan reputasi band-band indie ini?
Secara positif: Dari segi meluaskan empayar band-band indie ini mungkin juga. Mungkin apabila lagu tersebut pertama kali didengar oleh audien di dalam konsert bintang realiti ini, audien tersebut akan mula mencari dari mana datangnya lagu tersebut. Itu pun jika audien itu mahu mengkaji, jika bengap, sampai ke sudah dia akan menyangka lagu tersebut milik bintang realiti tersebut.
Secara keseluruhannya: Tidak membantu langsung! Malah merosakkan identiti dan mesej lagu itu. Dengan koreografi dan kostumnya, membuatkan aku hairan 365 hari, apa tidak rasa berdosakah menginterpretasikan sesebuah karya itu secara suka hati, riang ria?
Apa tidak bolehkah membuat research sedikit, mungkin dengan bertanya kepada tuan punya karya tentang apakah mesej atau pun makna di sebalik penulisannya?
Ini tidak habis-habis dengan pitching, penghayatan, pakaian tidak sesuai, gerak laku pentas, awak nampak comel@hensem. WTF?
Patutlah apabila tamat sahaja rancangan, mereka-mereka ini terus hilang. Ada 2 orang berjiwa besar dalam muzik, (Baca: Aizat dan Rich) selebihnya adalah sampah sarap yang perlu dikitar semula. Memang pembelajaran mereka tidak membantu, mereka sendiri patut tahu masa depan mereka amat gelap dengan menyertai program-program pantas itu.
Kesimpulannya, mahu menjadi anak seni perlukan jiwa. JIWA! Faham? Seni perlukan pengetahuan dan paling penting tahu apa yang kamu lakukan. Jangan amalkan sifat bodoh atau bengap. Belajar akar-akar muzik yang bersepah-sepah informasinya itu.
Kontroversi, gosip, hal rumahtangga, dan segala jadah apa yang berkaitan dengannya adalah amalan sebahagian wartawan hiburan. Mereka ini berkuasa mengugut jika artis itu tidak mahu bekerjasama. Bahaya betul..Kan?
By the way, aku gembira menguliti tulisan-tulisan rebel brader Soniboey, Terus rebel bro! Hahaha!
Ini Bukan Fiksyen
Jan 28th
Bila aku dengar lagu, semasa sedang bekerja, perkara pertama yang aku titikberatkan adalah energi dan emosi pada struktur lagu tersebut, diulangi ENERGI dan EMOSI.
BUKAN FUN!
Salah satu keburukan kerja yang aku buat adalah mengejar due date pada hari yang sama. Job masuk dan kena hantar. Baca semula: Pada hari yang sama. Demmit! Walaupun kadang-kadang extend itu dibenarkan, istilah tersebut tidak boleh dimanfaatkan sepenuhnya memandangkan majalah-majalah ini ada yang edisi mingguan dan jumlahnya bukan 2-3 keping. Bermakna jika aku extend hari ini, jumlahnya akan bertambah pada keesokan harinya!
Jadi lagu-lagu yang “Fun” “Enjoy” “Masuk Air” “Rilek” “Tinggalkan Otak Kamu Di Rumah” dan segala jadah apa yang berbentuk sebegitu adalah NONSENSE pada aku. Paling pasti aku akan terus mengetongsampahkan terus lagu yang mengajak aku bersukaria dan berpesta shuffle shuffle.
Tekanan bermaksud sesuatu perlu dijadikan medium untuk mengalirkannya. Ibaratkan sahaja tekanan itu seperti lemak. Lemak apabila sudah tepu, melekat dalam tubuh, cuma doktor yang selak rambut ke depan pakai bow tie tu ja lah harapan kamu.
Tekanan juga begitu, dan aku paling tidak suka mengumpulkan tekanan dalam tubuh, macam-macam penyakit boleh datang. Jadi selama 8 jam yang duduk sahaja itu bagaimanakah mahu mengurangkannya?
Pasang headphone, buka lagu, jangan pedulikan orang sekeliling. Duduk dalam dunia sendiri. Bercakap apabila perlu. Ketawa apabila lawak itu kelihatan bijak.
Dan jangan sekali-kali dengar lagu yang “Fun” “Enjoy” “Masuk Air” “Rilek” “Tinggalkan Otak Kamu Di Rumah” dan segala jadah apa yang berbentuk sebegitu.
*Oh Chentaku featuring Yuna (Journey Ends Nowhere) Terbaik!
Tekseater Budak-Budak Melayu British
Jan 27th
Irwan Gallagher tarik kerusi kosong di sebelahnya, kemudian dia melunjurkan kedua-dua belah kakinya di atas kerusi itu.
“Macam ni barulah selesa sikit,” ujar Irwan Gallagher sambil mulutnya sibuk mengunyah ‘pisang berangan side-income’ yang sengaja diletakkan oleh pihak restoran di atas meja-mejanya.
Amri Yorke menyalakan sebatang rokok. “Pisang yang kau makan tu 50 sen sebiji brader.”
“Aku makan separuh ja.” Balas Irwan Gallagher dengan penuh ketenangan sambil meletakkan semula baki pisang tersebut ke piring tempat asalnya.
Amri Yorke geleng kepala. Irwan Gallagher memang begitu, jenis suka separuh-separuh. Makan nasi separuh-separuh, dengar lagu separuh-separuh, menonton wayang separuh-separuh, keluar dating separuh hari.
Bukan dia tidak pernah menasihati tabiat gedik Irwan Gallagher itu, malah rasanya pelbagai cara sudah dilakukan termasuklah mengupah sekumpulan jemaah tabligh paling ekstrem untuk mentarbiahnya. Namun se-ekstrem-ekstrem jemaah tabligh tersebut, masa yang mereka peruntukkan tetap kekal 5 minit.
Sebagai rakan serumah, dia tidak tergamak membiarkan sahaja sahabatnya itu terus berada dalam kegelapan. Kadangkala Amri Yorke mahu saja positif, mungkin Tuhan belum bukakan hatinya. Kadang-kadang fikirannya jahat juga.
Dapat isteri tinggal separuh nanti baru dia sedar agaknya!
“Kau dah SMS Najmi Bellamy belum? Setiap kali nak kena tunggu dia, jadah apa!” Amri Yorke naik angin, asap rokok yang dihembusnya mula berkepul-kepul membentuk awan gelap.
Irwan Gallagher keluarkan telefon bimbitnya, kemudian jarinya pantas menaip sesuatu. “Ok, tengah hantar.”
Sunyi.
“Failed la Am!, apahal ntah, coverage penuh apa,” rungut Irwan Gallagher sambil huru-hara belek-belek telefon bimbitnya. Atas, bawah, depan belakang. “Takkan rosak kut, baru 2 hari pakai, siyut gila ah!”
Amri Yorke syak sesuatu. “Bagi sini telefon kau!”
Amri Yorke terus tekan butang Menu, kemudian dia cari ikon Contacts, tekun dia memeriksa senarai nombor telefon yang tersimpan di dalam telefon bimbit Irwan Gallagher, Amri Yorke menekuninya satu persatu.
Amri Yorke geleng kepala laju-laju. “Kau ni jadah apa sampai nombor telefon pun kau buat separuh-separuh juga? Apasal kau tak kerat ja telefon ni tinggalkan separuh?!”
Sunyi.
Irwan Gallagher sengih macam tenuk. Tabiatnya sudah memasuki fasa kritikal. Tangannya mencapai baki pisang yang diletakkan tadi, perlahan-lahan mulutnya mengunyah baki pisang tersebut. Kali ini mesti sampai habis.
